Friday, January 21, 2011

::. Telah Pun Termaktub .::

SEBUAH CERPEN.
Di ambil dari seorang sahabat...

       Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkanku begitu berani untuk mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah ku kenali.. Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diri ku pada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang hanya aku khususkan buatmu sebelum tiba masanya.


        Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang ku jaga rapi selama ini semata-mata buatmu, itulah hati dan cintaku, membuatkan aku tersedar dari lenaku yang panjang. Aku telah dididik ibu sejak kecil agar menjaga maruah dan mahkota diri ku kerana Allah telah menetapkannya untukmu suatu hari nanti. Kata ibu, "Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil alih tanggungjawab itu dari kami." jadi, ini bermakna engkau telah wujud dalam diriku sejak dulu lagi..


       Sepanjang umurku ini, aku menutup pintu hatiku daripada mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu membelakangi mu. Aku menghalang diri ku daripada mengenali mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu mengenali lelaki lain selain mu, apatah lagi memahami mereka. Kerana itulah aku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku dengan bukan mahramku. Aku lebih bersifat 'perumahan' kerana rumah itu tempat yang terbaik buat seorang wanita.


       Aku sering sahaja berasa tidak selamat diperhatikan oleh lelaki. Bukanlah aku bersangka buruk terhadap mereka , tetapi lebih baik aku berjaga-jaga kerana contoh banyak di depan mata. Apabila terpaksa berurusan dengan mereka, akan ku palingkan wajahku daripada lelaki yang asyik merenungku atau cuba menegurku. Aku seboleh-bolehnya melarikan pandangan ku daripada ajnabi kerana pesan saidatina Aisyah r.a. " Sebaik-baik wanita itu ialah yang tidak memandang dan tidak dipandang".


        Aku tidak ingin dipandang canti oleh lelaki... Biarlah aku hanya cantik di mata mu. Apa guna menjadi idaman ramai lelaki sedangkan aku hanya menjadi milikmu seorang. Aku tidak bangga menjadi rebutan lelaki bahkan, berasa terhina diperlakukan begitu, seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati.


        Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat ku berikan..Bagaimana akan ku jawab di hadapan Allah kelak, andai disoal?? Adakah itu sumbangan ku kepada manusia selama hidup ini dimuka bumi?


       Kalau aku tidak ingin kau memandang wanita lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki kelemahan dan menghias peribadiku kerana itulah yang dituntut oleh Allah. Kalau aku ingin lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi wanita yang baik. Bukankah Allah telah menjanjikan wanita yang baik untuk lelaki yang baik?


       Tidak ku nafikan sebagai remaja aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi... Namun setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. Allah telah memuliakan seseorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang yang menjadi lebihan lelaki lain. Lelaki itu berhak mendapat kasih-sayang yang tulen, bukan yang dibahagi-bahagikan...


       Diriku yang sememangnya lemah ini di uji Allah apabila seorang lelaki secara tidak sengaja mahu berkenalan denganku. Aku secara keras menolak, berbagai-bagai dalil aku kemukakan , tetapi dia tidak mahu mengalah. Lelaki itu tidak hanya berhenti disitu, dia sentiasa menghubungi dan menggangguku. Aku berasa amat tidak tenteram, seolah-olah seluruh kehidupanku  yang ceria selama ini dirampas dari ku.


     Aku tertanya-tanya, adakah aku sudah berada di tebing kebinasaan?? Aku beristighfar memohon keampunanNYA.. Aku juga berdoa agar DIA melindungiku daripada sebarang kejahatan. Kehadirannya membuatkan aku sentiasa memikirkanmu.. Kau ku rasakan seolah-olah wujud bersamaku. Dimana saja aku berada, akal sedar ku membuat perhitungan denganmu...


      Ku tahu lelaki yang melamarku bukan dirimu. Malah aku yakin dengan gerak hati. 'woman intuition' ku yang mengatakan lelaki itu bukan dirimu. Aku bukanlah  gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku ini untuk memilih berlian sedangkan aku hanya sebutir pasir yang wujud dimana-mana.


      Namun aku juga punyai keinginan seperti gadis lain dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpin aku ke arah tuju yang satu. Tidak perlu kau mempunyai wajah seindah Nabi Yusof a.s yang mampu mendebarkan jutaan gadis untuk membuatku terpikat...Andainya kaulah jodohku yang telah tertulis di luh mahfuz, Allah pasti mencampakkan rasa kasih di dalam hatiku, jua hatimu kali pertama kita berpandangan...Itulah janji Allah...


     Akan tetapi selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah , selagi itu janganlah kau zahirkan perasaan itu kepadaku, kerana kau masih belum berhak untuk berbuat begitu. Juga jangan pula kau lampaui batasan yang telah ditetapkan syara'.


    Aku takut perlakuan itu akan memberi impak yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak. Permintaan ku tidak banyak, cukuplah dirimu yang diinfaqkan seluruhnya pada mencari keredhaan ilahi. Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri atau sandaran perjuanganmu...
Bahkan aku amat bersyukur pada ilahi, kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juang mu, menghulurkan tanganku untuk mu berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau shahid itu..


    Akan ku kesat darah dan luka mu dengan tanganku sendiri. Itu impian aku. Aku pasti berendam air mata darah andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu kepadaku. Bukan itu yang aku impikan. Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu. Kerana dengan mencintai Allah , kau akan mencintaiku keranaNYA... Cinta itu lebih abadi daripada cinta insan biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga....


    Aku juga tidak ingin dilimpahkan kemewahan dunia. Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan ibu bapaku dulu... Apa gunanya menimbun harta untuk kemudahanku sekiranya harta itu akan membuat kau dan aku lupa tanggungjawabmu.. Aku tidak akan sekali-kali bahagia melihat mu begitu... Biarlah kita hidup dibawah jaminan Allah sepenuhnya... Itu lebih bermakna bagiku....

****** semoga kita mengambil pengajaran dan seterusnya menjadikan diri kita sebagai salah seorang daripada wanita yang sejati... insyaallah.....*******

No comments:

Post a Comment